Lelaki Pukul, Rogol Remaja Ditahan Polis

DSP Mohd Farhan Lee Abdullah
DSP Mohd Farhan Lee Abdullah
DSP Mohd Farhan Lee Abdullah

RANAU: Pasukan Polis Ranau telah berjaya memberkas seorang suspek lelaki yang disyaki mengurung, memukul dan merogol seorang gadis berusia 16 tahun selama dua minggu di sini pada hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Mohd Farhan Lee Abdullah yang mengesahkan kes itu kepada media berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun ditangkap di rumahnya di sini ekoran laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis Penampang pada hari yang sama.

“Laporan yang kita perolehi mengatakan bahawa pada 11 Julai 2016 mangsa yang berusia 16 tahun dan masih bersekolah di Tingkatan Empat di salah sebuah sekolah menengah, telah mengikut suspek yang juga merupakan teman lelakinya ke Ranau dengan menaiki kereta milik suspek.

“Kita difahamkan bahawa mangsa telah mengenali teman lelakinya melalui aplikasi sosial WeChat di mana mereka telah berkomunikasi selama hanya lebih kurang sebulan.

“Suspek telah membawa mangsa ke rumahnya dan berlaku sedikit pertengkaran ekoran mangsa berkeras mahu pulang dan suspek bertindak memarahi mangsa dan menampar mangsa beberapa kali dan menyebabkan mangsa berada di dalam ketakutan dan mengikut sahaja kehendak suspek.

“Semasa berada di rumah suspek, mangsa telah dirogol beberapa kali semenjak itu. Setelah dua minggu selepas itu, suspek telah menghantar mangsa pulang di sekitar kedai perabot Matahari Putatan dan mangsa berjalan kaki pulang ke rumah. Mangsa telah membuat laporan untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Farhan turut menasihati para ibu bapa di mana-mana sahaja agar lebih prihatin terhadap kegiatan anak-anak mereka, terutama sekali berkaitan hal kawan- kawan mereka di dalam laman media sosial.

“Perlu diingatkan bahawa hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Kini kita hidup di era komunikasi digital di mana anak-anak kita lebih terdedah kepada pelbagai risiko sosial.

Ibu bapa perlu lebih bijak membuat pemantauan aktiviti anak-anak mereka,” jelas beliau.


Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow