10 Individu Saman Najib, Kerajaan

KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Malaysia, dan 1MDB  berhubung pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM35 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli).

Saman itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan melalui firma guaman Tetuan Hanif Khatri.

10 individu berkenaan merupakan ahli gerakan sosial Gerakan Anakmuda Tolak MO1/Najib (GANT1) yang turut mewakili 146 individu lain dalam gerakan tersebut.

Peguam Muhammad Haniff Khatri Abdulla berkata,  saman itu dikemukakan bagi memaksa kerajaan buat pengisytiharan serta dedahkan akaun diguna bagi membayar International Petroleum Investment Co (IPIC).

“Kita tuntut pengisytiharan mahkamah selain desak pendedahan akaun dibuat pembayaran (kepada IPIC),” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara individu dinamakan plaintif ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; wakil Armada Bersatu, Mahathir Mohd Rais serta wakil Dapsy, Howard Lee.

Sementara itu berdasarkan penyataan tuntutan, kesemua plaintif berkata, 1MDB telah mendapat bantuan bon sebanyak AS$3.5 bilion untuk pembelian loji tenaga daripada IPIC dan Aabar Asli.

Menurut mereka, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC), 1MDB mendakwa telah membuat bayaran AS$3.5 bilion IPIC dan Aabar asli melalui tiga transaksi.

Bagaimanapun pada 14 Julai 2016 IPIC dan anak syarikatnya Aabar Asli  telah bawa tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan kerajaan berhubung wujudnya tuntutan AS$6.5 bilion atas dakwaan kegagalan 1MDB menunaikan kontrak.

“Asas tuntutan arbitrasi itu tidak sah dan tidak berasas dan salah di sisi undang-undang  malah merupakan penyelewengan kontrak dan fakta,” dakwanya.

Mereka turut mendakwa Najib dan 1MDB telah memasuki persetujuan berhubung perjanjian penyelesaian arbitrasi antara IPIC dan Abar asli secara salah yang tidak sah di sisi undang-undang.


Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow