PBS sudah bersedia Mengahdapi PRU-14

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dan mengaktifkan jentera di semua kawasan, termasuk 13 kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan tahun lalu.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata jentera parti di semua kawasan sudah diaktifkan dan tahap persediaan dipertingkatkan.

“Jentera kita di semua pusat mengundi sudah memulakan kerja. Sekiranya kawasan DUN baharu ini diterima pakai dalam pilihan raya akan datang, kita bersedia menubuhkan jawatankuasa penaja di kawasan berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di sini pada Isnin.

Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berkata PBS sudah menyuarakan hasrat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan enam daripada 13 kerusi baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi persempadanan semula itu.

Katanya, sebagai parti berbilang kaum, PBS pasti boleh melakukan yang terbaik di kawasan yang diberikan oleh pucuk pimpinan BN.

Dalam perkembangan lain, Majlis Tertinggi PBS juga menggesa Kerajaan Negeri supaya menyemak semula perjanjian yang dilakukan bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Sahabat di Lahad Datu.

Menurutnya, ahli PBS di bahagian pantai timur sering kali membangkitkan isu berkaitan Felda Sahabat di Lahad Datu yang didapati gagal memenuhi perjanjian untuk menyediakan kawasan peneroka kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah, terutama masyarakat Kadazan Dusun Murut.

Maximus berkata kirakira 400,000 hektar tanah di Lahad Datu dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan. Program itu akan membolehkan peladang memperoleh keuntungan daripada penanaman getah dan kelapa sawit di bawah Felda.

“Namun sehingga kini, hanya 25 peratus daripada jumlah kawasan itu digunakan oleh peladang tempatan. Bagaimana pula dengan kawasan selebihnya (75 peratus).

“Menurut perancangan asal, kawasan dikenal pasti itu akan dimanfaatkan oleh 1,000 peladang. Namun, hingga kini, Felda tidak meneruskan perancangan berkenaan. Program itu juga sudah dihentikan,” katanya.

Atas sebab itu, PBS menggesa agar perjanjian bersama Felda itu disemak semula bagi memastikan Felda menunaikan janji mereka.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow