Kerajaan perlu majoriti 2/3 laksana janji MA63 – PM

Kerajaan-perlu-majoriti-2-3-laksana-janji-MA63-PM.jpg

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mempunyai dua pertiga majoriti dalam Parlimen untuk meminda Perlembagaan bagi melaksanakan apa yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kerajaan Persekutuan perlu melihat bagaimana ia boleh mendapat sokongan di Parlimen bagi membolehkan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 dikembalikan.

“Buat masa ini kita akan kaji apa apa yang perlu dimansuhkan dan digantikan dengan peruntukan baharu (terma yang ada kaitan dengan MA63) dalam Perlembagaan. Terdapat juga beberapa undang-undang yang perlu kita teliti,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sarapan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota Kabinet Sabah, di sini, pagi tadi.

Ditanya sama ada kerajaan boleh mendapat sokongan pembangkang yang dilihat turut memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata pembangkang mungkin bercakap lain tetapi kemudian berpakat untuk tidak menyokong, seperti berlaku pada persidangan Dewan Negara yang menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Mengenai apa lagi hak Sabah dan Sarawak yang boleh dikembalikan, beliau melihat keperluan menambah pegawai pembuat keputusan dari Sabah dan Sarawak berada dalam kerajaan di Putrajaya, atau perlu menghantar mereka dari Semenanjung ke kedua-dua negeri berkenaan.

“Ada beberapa perkara yang kita putuskan di Kuala Lumpur oleh orang yang tidak biasa dengan keadaan di Sabah dan Sarawak, kita perlu tangani isu ini,” katanya tanpa menyatakan tempoh bila kajian berkaitan MA63 disiapkan kerana bergantung kepada beberapa faktor.

Dr Mahathir berkata, meningkatkan Infrastruktur pendidikan juga adalah antara perkara dalam hak Sabah yang diberikan perhatian kerana masih banyak sekolah di negeri ini dalam keadaan daif.

“Saya diberitahu masih ada sekolah dibuat daripada kayu, ini perlu ditangani juga…(sekolah) tiada air dan tiada kemudahan tandas yang baik, banyak perkara perlu dilakukan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di Padang Merdeka di sini, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum mengenai penukaran status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu adalah sebahagian proses yang akan dilaksanakan selepas kajian MA63 disiapkan.

Beliau menegaskan, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA 63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Loading...
scroll to top