Pasukan keselamatan di timur Sabah mantap – Mat Sabu

Pasukan-keselamatan-di-timur-Sabah-mantap-Mat-Sabu.jpg

MOHAMMAD Sabu bersalaman dengan sebahagian anggota keselamatan ketika lawatannya di ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu. - Foto IHSAN PEMBACA

LAHAD DATU: Tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan di pantai timur negeri ini menarik perhatian Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu dalam siri lawatan kerja pertamanya ke pantai timur Sabah, hari ini.

Pada lawatan itu, Mohammad berkesempatan melawat pangkalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan beberapa pulau yang menempatkan pasukan keselamatan dan penguatkuasaan itu.

“Saya diberi taklimat (mengenai aspek keselamatan) dan kesediaan pasukan keselamatan di sini yang sentiasa berada pada tahap tertinggi. Keadaan di sini aman dengan kehadiran ramai pelancong.

“Empat bulan yang lalu, pelancong Eropah kurang berminat datang ke sini berikutan laporan penculikan tetapi kini mereka datang.

“Malah, pulau kecil yang sangat hampir dengan Filipina turut dilawati pelancong yang kebanyakannya warga China,” katanya kepada media ketika ditemui di pangkalan ESSCOM, di sini, hari ini.

Mohammad berkata, adalah penting untuk membuktikan kemampuan pasukan keselamatan memulihkan keselamatan di pantai timur dan melindungi negara, terutama Sabah daripada sebarang ancaman.

“Terdapat beberapa masalah seperti kekurangan aset. Saya akan bincangkan di Kabinet dan membawa perkara itu ke tahap tertinggi supaya tuntutan dapat dipenuhi.

“Secara umum, mereka melaksanakan tugas dengan baik dan saya berpuas hati dengan taklimat (keselamatan). Walaupun ada kejadian penculikan bulan lalu, insiden seperti itu berkurangan secara drastik sejak ESSCOM menjalankan operasinya di sini,” katanya.

Mohammad turut memberi jaminan keselamatan Sabah berada pada tahap terbaik dan menggesa pelancong asing supaya tidak bimbang untuk datang ke negeri ini.

Loading...
scroll to top