Polis Jejak Dua Suspek Kes Curi di Tambunan

Kes-Curi-di-Tambunan.jpg

Suspek berjaya melarikan diri selepas melanggar 4 buah kereta di belakang SERVAY Keningau.

KENINGAU: Polis sedang menjejaki dua rakyat tempatan termasuk seorang wanita yang terlibat dalam satu kes curi yang berlaku di Tambunan pada Isnin lalu.

Suspek seorang lelaki rakyat tempatan berusia 32 tahun dan berasal dari Tuaran sementara suspek wanita adalah berbadan sederhana dan berambut panjang.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata kejadian itu berlaku di tepi jalan Toboh berhadapan sebuah pasaraya di Tambunan.

Katanya pada 26 Disember jam 12.52 petang, pengadu seorang wanita tempatan berumur 29 tahun telah membuat laporan polis mengatakan pada hari yang sama jam sekitar 6 pagi, kenderaan milik pengadu jenis Viva telah dipecahkan cermin di bahagian penumpang belakang sebelah kanan oleh seorang wanita.

Beliau berkata dalam kejadian itu, beg galas pengadu yang berisi barangan telah diambil oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati, pada hari yang sama jam sekitar 4 pagi, pengadu baru pulang dari rumah rakannya di Inanam, Kota Kinabalu untuk menyambut Krismas.

“Pengadu pulang ke Tambunan bersama rakan. Pengadu yang ketika itu dalam perjalanan telah memberhentikan kenderaan di tepi Jalan Toboh, Tambunan.

“Pengadu dan rakan kemudiannya tertidur di dalam kereta sebelum terjaga akibat terdengar bunyi cermin kenderaan dipecahkan,” katanya.

Ahmad berkata pengadu dan rakannya melihat seorang perempuan berlari menuju ke sebuah kenderaan jenis Celica model lama, bewarna merah yang kemudiannya memecut meninggalkan kenderaan pengadu.

Katanya pengadu mendapati satu beg galas miliknya yang berisi barangan seperti sebuah laptop jenis Lenovo, sebuah Hard Disk Toshiba 500GB dan wang tunai sebanyak RM2,600 telah hilang dan anggaran kerugian pengadu adalah sebanyak RM4,000.

Menurutnya pengadu telah pulang ke rumah sebelum datang ke balai polis bagi membuat laporan mengenai kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat yang di terima, pada hari yang sama jam 9.42 pagi, rondaan MPV Keningau diketuai oleh Koperal Azarin Gundadar telah mengesan kenderaan suspek dan telah mengejar suspek dari jalan hadapan Kampung Bayangan sehingga ke Pekan Keningau.

“Pihak MPV telah memohon bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan sepasukan anggota dari jabatan itu diketuai oleh Inspektor Muhammad Zulhelmi Ramli telah membantu mengejar kenderaan suspek,” katanya.

Ahmad berkata MPV meneruskan usaha mengejar kenderaan suspek sehingga ke jalan belakang Servay Keningau.

Katanya kenderaan yang dipandu oleh suspek kemudiannya telah melanggar empat kenderaan jenis Isuzu D-Max, Kia Sorento, Toyota Hilux dan Perodua Kancil yang diparkir di tempat letak kereta.

Kenderaan suspek telah terbabas di jalan belakang pasaraya Servay Keningau dan suspek telah berjaya melarikan diri.

Katanya kenderaan suspek yang ditinggalkan kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis IPD Keningau untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau polis telah melakukan proses penimbulan cap jari ke atas kenderaan suspek. Sebanyak lima kesan cap jari berjaya diperolehi.

“Polis percaya terdapat dua orang suspek yang terlibat dalam kes ini iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Kenderaan suspek yang dikejar oleh pihak polis dipandu oleh seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dimaklumkan oleh pengadu.

Bagaimanapun, katanya, suspek terbabit memandu kenderaan seorang diri tanpa suspek wanita yang dimaklumkan oleh pengadu. Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada CCTV dan terdapat saksi kejadian.

Katanya polis sedang mengesan kedua-dua suspek mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaaan.

Ahmad juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil untuk membantu siasatan polis.

Loading...
scroll to top