Kelajuan ombak tsunami Sulawesi 800 kilometer sejam

ombak-tsunami.jpg

NEW YORK: Saintis mengakui terkejut dengan saiz tsunami yang mengakibatkan banyak kemusnahan di bandar Palu, Jumaat lalu.

Ini kerana saiz gempa yang berlaku sebelum itu biasanya tidak menyebabkan ombak besar yang mencapai kelajuan sehingga 800 kilometer sejam.

“Kami jangka ia boleh menyebabkan tsunami, cuma tidaklah sebesar itu,” kata Jason Patton, pakar geofizik firma perunding Temblor dan pensyarah di Universiti Humboldt State, California.

Portal New York Times (NYT) memetik beliau sebagai berkata: “Apabila kejadian seperti ini berlaku, kami biasanya akan temui sesuatu yang baru.”

Gempa magnitud 7.5 itu melanda awal petang berpusat di sepanjang pantai Sulawesi, 80 kilometer ke utara Palu.

Dalam tempoh singkat kira-kira 30 minit selepas itu, ombak setinggi lima meter melanda hingga ke bandar Palu, memusnahkan bangunan, menghempas kenderaan dan menyebabkan ratusan orang maut.

Angka kematian yang tinggi itu juga menunjukkan Indonesia kekurangan sistem teknologi maju bagi mengesan tsunami dan memberi amaran mengenainya.

Masyarakat di kawasan lain termasuk di bandar Donggala, Sulawesi, turut terkesan dengan tsunami itu tetapi butir-butir kemusnahan masih belum diketahui.

Tsunami yang menyebabkan bencana besar biasanya disebabkan lonjakan kuat gempa apabila sebahagian besar bentuk kerak bumi berubah dan bergetar.

Ia menelan banyak air menghasilkan ombak yang bergerak pada kelajuan tinggi melintasi lautan beribu-ribu kilometer daripada pusat gempa.

Tsunami Sulawesi dipercayai mencapai kelajuan sehingga 800 kilometer sejam.

Tsunami di lautan Hindi pada 2004 yang membawa kepada ombak setinggi 30 meter membunuh hampir suku juta orang dari Indonesia ke Afrika Selatan berpunca daripada gempa magnitud 9.1 di Sumatera.

Satu kemungkinan lain yang berlaku ialah tsunami itu berlaku secara tidak langsung bermula dengan gempa disusuli tanah runtuh di dasar laut.

Ia pernah berlaku ketika gempa magnitud 9.2 di Alaska pada 1964, contohnya. – Agensi

Loading...
scroll to top