Musa Aman dijangka ikut jejak adiknya keluar UMNO kata Bung Mokhtar

Musa-Aman-dijangka-ikut-jejak-adiknya-keluar-UMNO-kata-Bung-Mokhtar.jpg

Musa dan adiknya Anifah

SANDAKAN: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak menafikan kemungkinan beberapa lagi wakil rakyat UMNO akan keluar parti.

Bung Moktar, ketika dihubungi NSTP, turut tidak menolak kemungkinan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, mengikut jejak langkah adiknya, Datuk Seri Anifah Aman yang mengesahkan meninggalkan UMNO, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Anifah dan seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengejutkan kerana mereka mempunyai jawatan yang baik dalam parti.

“Saya tidak hairan sangat dengan keadaan sebegini (pemimpin keluar parti), cuma agak terkejut kerana yang meninggalkan perjuangan ini adalah mereka yang diberi tempat baik dalam parti.

“Ada kemungkinan (Musa turut keluar UMNO),” katanya namun enggan mengulas lanjut.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan beberapa pemimpin UMNO itu tidak membawa kesan besar terhadap perjuangan parti.

Beliau percaya cabaran dari segenap penjuru susulan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kemungkinan antara faktor yang mendorong pemimpin terbabit mengambil langkah tersendiri demi kepentingan diri masing-masing.

Ditanya mengenai pendiriannya sama ada akan turut meninggalkan UMNO atau kekal setia bersama parti, Bung Moktar berkata: “Selagi hayat dikandung badan, UMNO adalah wadah tempat saya berjuang.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai keputusan tindakan Anifah keluar UMNO serta pendiriannya.

Loading...
scroll to top