Sah ! Anifah Aman Keluar UMNO

Saya-Tidak-Terlibat-Anifah-Aman.jpg

Anifah Aman

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Anifah Aman sebentar tadi mengesahkan keluar parti, kurang 24 jam selepas seorang lagi MT, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil tindakan sama, malam tadi.

Perkara itu disahkan Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis ketika dihubungi NSTP di sini, sebentar tadi, sambil memaklumkan keputusan dibuat selepas memberi pertimbangan mendalam serta atas kerelaan sendiri.

“Ya, saya telah meletak jawatan dari parti, tetapi bukan bersama dengan Tok Pa (Mustapa Mohamed), keputusan (meninggalkan UMNO) ini telah dibuat agak lama dahulu,” katanya.

Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan bekas Menteri Luar berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi mengenai sebab meninggalkan UMNO serta mengenai hala tuju politiknya sama ada menyertai mana-mana parti selepas ini.

Kelmarin, Anifah menerusi kenyataan berkata, beliau akan membantu memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketika mengulas ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Malaysia Ke-55, Ahad lalu, bahawa kerajaan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia, Anifah berkata, sebagai anak Sabah, beliau teruja kerana selama ini ia adalah tunjang perjuangan pemimpin dua negeri terbabit.

Di bawah kerajaan terdahulu, Anifah bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dari Sarawak, mengetuai jawatankuasa Kabinet untuk melihat pemulihan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Beliau turut membangunkan badan bukan kerajaan (NGO), dikenali sebagai MySabah dalam menuntut semula hak Sabah, terutama pulangan sebanyak 40 peratus daripada pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan Persekutuan, kepada negeri itu.

Anifah sebelum ini, pernah mengancam keluar dari parti, jika kerajaan Persekutuan gagal memenuhi syarat di bawah MA63 selepas beberapa kali berjanji untuk berbuat demikian.

Pada sidang Parlimen Julai lalu, Anifah bersama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak berganjak dari Dewan Rakyat apabila kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar dewan bersama wakil rakyat PAS sebagai tanda protes terhadap proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Anifah menjadi Ahli Parlimen Beaufort pada tahun 1999 sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Industri Utama oleh Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri ketika ini.

Malam tadi, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Biodata Datuk Seri Anifah Aman

  • Dilahirkan di Keningau, Sabah pada 16 November 1953.
  • Adik kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
  • Memperoleh Sarjana dalam falsafah ekonomi dan undang-undang dariUniversity of Buckingham, United Kingdom.
  • Pembabitan dalam politik bermula pada 1994 apabila bertanding sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kilas tetapi tewas.
  • Dipilih sebagai Ahli Parlimen Beaufort pada 1999.
  • Dipilih sebagai Ahli Parlimen Kimanis sejak 2004-sekarang
  • Pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
  • Menyandang jawatan Menteri Luar di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada 2009-2018.
  • Pernah menjadi Bendahari UMNO bahagian Beaufort pada 1994 sebelum dilantik sebagai Naib Ketua bahagian terbabit bagi penggal 2001-2003.
  • Penyandang Ketua UMNO bahagian Kimanis sejak 2004-sekarang.
Loading...
scroll to top