Salam Mahathir mungkin berbisa untuk Anwar – Salleh Said

Salam-Mahathir-mungkin-berbisa-untuk-Anwar-Salleh-Said.jpg

Salam Mahathir mungkin berbisa untuk Anwar - Salleh Said

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno berharap kejadian bersejarah dua figura saling bermusuhan yang bersalaman hari ini antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertukar menjadi keadaan lebih teruk kepada Anwar.

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tindakan bersalaman itu tidak mengejutkan kerana Dr Mahathir memerlukan sokongan untuk parti baharunya, Bersatu.

“Tetapi melihat Dr Mahathir berjabat tangan dengan Anwar hari ini seperti apa yang berlaku pada 1998, sehari sebelum beliau memusnahkan Anwar. Kucupan Dr Mahathir ialah kucupan maut (kiss of death),” katanya kepada FMT.

Pada 1998, Dr Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri atas tuduhan salah laku seks, hingga mencetuskan gerakan reformasi yang mengheret ribuan orang berdemonstrasi di jalanan.

Salleh berkata amat ketara yang Dr Mahathir sedang cuba membina jambatan dengan Anwar.

“Untuk memikat Pakatan, Dr Mahathir akhirnya mengakui beliau tidak mempunyai cukup kekuatan untuk kejayaan partinya. Dia perlu tumpang pada Anwar dan Pakatan,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan bekas perdana menteri itu ke Mahkamah Tinggi hari ini untuk mendengar permohonan Anwar untuk menggantung pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bendahari Umno itu berkata kehadiran Dr Mahathir di mahkamah untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar tidak begitu mengejutkan.

“Ini apa yang kita panggil kepentingan politik. Ia hanya menunjukkan betapa terdesaknya Dr Mahathir kini. Dia tahu parti baharunya tidak boleh pergi jauh sendirian. Jadi dia perlu untuk tumpang Pakatan Harapan seperti kapal angkasa perlukan roket,” katanya.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Aziz Kaprawi menggambarkan bersalaman itu sebagai “perkahwinan kontrak dan memalukan”.

Aziz berkata ia menunjukkan bekas perdana menteri itu sanggup melakukan apa saja demi memastikan keluarganya tidak terpinggir daripada politik.

“Umurnya sudah 90-an dan mungkin melakukan semua ini untuk melihat kelangsungan politik anaknya. Dia sangat terdesak,” katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir sendiri yang menyebabkan Anwar dipenjarakan kali pertama, selepas menyingkirkan bekas anak didiknya itu.

“Kini bersalaman dengan Anwar, itu menunjukkan dia sangat lemah hingga terpaksa memerlukan kekuatan daripada Anwar bagi mendapatkan sokongan pengundi.

“Ini tindakan yang memalukan. Satu kahwin kontrak. Ia untuk agenda Dr Mahathir,” katanya dan menambah tiada keikhlasan ketika berjabat tangan itu kerana ia hanya untuk dapat sokongan tambahan daripada penyokong Anwar,” katanya kepada FMT.

“Rakyat akan menilai tindakan Dr Mahathir. Sudah lebih 90 tahun umurnya dan melakukan semua ini untuk parti baharunya,” katanya.

Dr Mahathir tiba di mahkamah kira-kira jam 3 petang bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Beliau yang meninggalkan Umno awal tahun ini kelihatan bersalaman dengan Anwar dan berbual dengan Anwar di dalam kamar saksi.

Dipercayai, ini adalah kali pertama kedua-duanya bertemu selepas Anwar dipecat 18 tahun lalu. – FMT

Loading...
scroll to top