UMNO fail saman tuntut RM116.7 juta

UMNO.jpg

KUALA LUMPUR: UMNO sudah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut wang RM RM116.7 juta milik mereka yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh, dalam kenyataannya mengesahkan perkara itu dan memberitahu bahawa atas arahan anak guamnya, pernyataan tuntutan difailkan pada 20 September lalu manakala writ saman dikemukakan keesokan harinya.

Hariharan iaitu peguam utama Umno daripada Tetuan Scivetti & Associates berkata, pihaknya sudah menyerahkan writ dan pernyataan tuntutan itu kepada semua defendan pada 21 September lalu.

Semua defendan mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan itu untuk memasukkan kehadiran mereka.

Sementara itu, Hariharan ketika dihubungi mengesahkan bahawa saman itu dikemukakan melalui Datuk Seri Abd Rauf Yusoh sebagai pegawai awam UMNO dan plaintif dalam kes itu.

Melalui dokumen yang diperoleh, mereka menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), R Rajagopal; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSKK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara dan Kerajaan sebagai defendan.

Kes itu sudah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom pada 15 Oktober ini pada jam 9 pagi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO antara lain memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilaksanakan pada 17 Mei 2018 di premis adalah salah di sisi undang-undang.

UMNO memohon perintah untuk pemulangan semula wang RM116.7 juta kepada mereka.

Mereka juga memohon perintah untuk pemulangan wang berjumlah RM43.3 juta iaitu perbezaan jumlah RM160 juta dan RM116.7 kepada UMNO selain itu mereka memohon ganti rugi am, teruk dan teladan.

Plaintif mendakwa bahawa UMNO adalah pemilik RM160 juta itu dan defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah dan merampas serta mengambil alih pemilikan dana itu.

Plaintif mendakwa walaupun UMNO sudah menuntut pengembalian dana itu, defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.

Akibat daripada tindakan semua defendan itu, plaintif mendakwa UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana itu serta mengalami kehilangan dan kerugian.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa UMNO yang ditubuhkan pada 1946 adalah pengasas parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan Malaysia sehingga 9 Mei 2018.

Abd Rauf mendakwa UMNO memberi kuasa kepada presidennya untuk memperoleh sumber dan menguruskan dana/derma untuk parti itu yang antara lainnya bertujuan untuk pilihan raya.

Menurut Abd Rauf, dana pilihan raya dipegang oleh Presiden UMNO sebagai pemegang amanah dan tiada pegawai atau ahli dalam parti itu yang mempunyai akses atau pengetahuan penuh berkenaan dana itu.

Beliau mendakwa baki dana pilihan raya bersama-sama dengan aset lain diserahkan oleh Presiden UMNO yang terdahulu kepada presiden akan datang.

Sebelum pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam pada 3 April 2009, sebuah bilik kebal dibina di kediaman rasmi di Seri Perdana di Putrajaya.

Menurutnya, bilik kebal itu digunakan oleh Perdana Menteri yang berkhidmat pada masa material untuk menyimpan dana pilihan raya yang pada kebiasaannya disimpan dalam bentuk wang tunai untuk memudahkan kegunaan wang itu.

Abd Rauf mendakwa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebanyak RM160 juta adalah baki dana pilihan raya yang juga milik UMNO dan dipegang oleh Najib sebagai pemegang amanah.

Beliau mendakwa selepas PRU-14, bagi memastikan keselamatan dana, Najib meletakkan dana itu di sebuah apartmen di Pavilion Residence, Jalan Raja Chulan, dekat sini dengan persetujuan pemilik premis itu iaitu OBYU Sdn Bhd.

Beliau mendakwa, selepas itu hanya Nahib yang ada milikan eksklusif ke atas premis itu.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata bahawa wang tunai, termasuk mata wang asing yang dirampas polis dalam beberapa serbuan di ibu negara baru-baru ini adalah milik UMNO dan mahu ia dikembalikan.

Loading...
scroll to top